Kerajaan telah mengumumkan bahawa tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 2.23 sen/kilowatt/jam (kWj) berkuatkuasa 1 Jun 2011.
Kerajaan berkata, kenaikan ini tidak akan menjejaskan pengguna yang menggunakan elektrik kurang dari 300kWj.
Itu yang kerajaan kata. Yang kawan kata dan ramai rakyat kata pulak, bila kerajaan menaikkan tarif elektrik, tauke-tauke kilang akan mengeluh menanggung kos operasi yang lebih tinggi kerana kena membayar bil elektrik yang lebih tinggi. Jalan seterusnya bagi pengilang-pengilang ini ialah, memindahkan beban kenaikan bil elektrik ini kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka.
Bila ini terjadi, rakyat kelas bawahan tidak dapat mengelak untuk berbelanja lebih bagi membeli barangan keperluan asas kerana semuanya asalnya datang dari kilang. Pengusaha-pengusaha kilang dan Tenaga Nasional akan tetap membuat untung saban tahun sedangkan yang menanggung akibatnya ialah orang ramai terutamanya yang berpendapatan rendah.
Pada kawan, kenaikan tarif elektrik ini samalah akibatnya dengan mengurangkan subsidi diesel. Ini kerana, kedua-dua bahan ini, elektrik dan diesel digunakan secara meluas dalam sektor pengeluar barangan mencakupi makanan, pembinaan kediaman, pengangkutan dan pelbagai barangan keperluan asas lain.
Kawan masih boleh menyokong pengurangan subsidi petrol, kerana ianya melibatkan individu dan kurang melibatkan sektor perniagaan. Individu yang mengeluh dengan kenaikan harga petrol masih punya pelbagai pilihan seperti beralih dari menggunakan kereta kepada motosikal, memasang perlatan penjimatan minyak, menggunakan NGV ataupun menggunakan pengangkutan awam, tetapi bila tarif elektrik dinaikkan, semua orang akan terlibat samada secara langsung ataupun tidak.
Sebelum ini, kawan ada menulis tentang inflasi. Memang tak dinafikan, apabila ekonomi baru pulih dari kemelesetan, inflasi juga akan meningkat sama, tapi pada kadar yang perlahan kerana pengeluaran barangan baru bertambah dan rakyat yang dulunya kehilangan kerja mendapat pekerjaan baru yang membolehkan mereka mempunyai pendapatan yang boleh dibelanjakan.
Tetapi, dalam keadaan ekonomi baru merangkak untuk pulih, kerajaan mengambil keputusan untuk mengurangkan subsidi diesel, gas serta menaikkan tarif elektrik, kadar inflasi akan naik mencanak. Tahun ini, inflasi meningkat dari 2.4% pada Januari, 2.9% Februari, 3% Mac dan 3.2% pada April. Dengan kenaikan tarif elektrik ini, kawan jangkakan inflasi akan berada di sekitar 3.5-3.6% pada Jun nanti.
Kawan kesal, di saat PR sibuk memukul canang bahawa kerajaan BN adalah kerajaan "Barang Naik", kerajaan memutuskan untuk mengiyakan tuduhan itu dengan menaikkan tarif elektrik tanpa pertimbangan menyeluruh.
Dan orang yang harus bertanggungjawab tak lain tak bukan adalah pakar-pakar ekonomi dalam kabinet Najib iaitu Nor Mohamed Yakcop dan tauke transformasi, Idris Jala. Projek Transformasi Idris adalah transformasi untuk menyusahkan rakyat. Kawan rasa, sudah sampai masanya untuk Najib menggugurkan orang ini dari kabinetnya kerana adanya mereka cuma menambahkan beban Najib untuk menangani persepsi buruk yang ditohmahkan PR kepada kerajaan.
Kawan juga ingin menyeru kepada pentadbiran Najib supaya mengambil langkah untuk mendapatkan nasihat dari negarawan ulung kita, Tun Dr Mahathir. Zaman pemerintahan Tun M menyaksikan negara dua kali menghadapi kemelesetan ekonomi, pada 1986/87 dan 1998/1999. Walaupun kemelesetan 1998/1999 adalah yang terburuk dalam sejarah negara, tapi disebabkan oleh kebijaksanaan Tun M dan pasukannya, rakyat tidak terasa sangat dengan bebanan kenaikan kos sara hidup seperti sekarang.
Apalah salahnya kabinet Najib menggunakan pengalaman luas Tun M sebagai ketua negara selama 22 tahun dan memacu pertumbuhan negara sehingga dihormati di kalangan negara maju dan membangun, sebagai panduan untuk menerajui negara keluar dari kemelut yang meresahkan kehidupan rakyat jelata. Gunakanlah kepakaran Tun M sementara hayatnya masih ada. Dan rasanya, Tun M pasti tidak akan menolak jika sumbangannya diperlukan oleh negara.
Kawan menyeru kepada kerajaan, pertimbangkanlah keadaan rakyat kelas bawahan sebelum membuat sesuatu keputusan. Rakyat marhaen inilah yang banyak menyokong kerajaan dalam 12 pilihanraya umum sejak merdeka. Bagaimanapun, jika kerajaan terus bertindak melupakan golongan ini, bersedialah untuk menerima tamparan rakyat marhaen dalam PRU13 nanti. Ketika itu, jangan salahkan PR kerana membuat pelbagai tohmahan kepada kerajaan, tetapi salahkanlah diri sendiri kerana terlalu ego dan bongkak untuk mendengar rintihan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sementara komen anda amat dialu-alukan, admin blog ini punya hak untuk tidak menyiarkan komen yang mengandungi perkataan yang tidak bersesuaian dengan budaya orang Timur. Terima kasih.