ARTIKEL PANAS!!!

Isnin, 2 Mei 2011

KEMATIAN OSAMA : ADAKAH KEGANASAN AKAN BERAKHIR?

Osama bin Laden portrait.jpgPresiden US, Barrack Obama dengan bangganya mengumumkan kepada seluruh dunia bahawa Osama bin Laden telah berjaya dibunuh oleh tenteranya di Pakistan.

Osama amat dikehendaki oleh US kerana ketua pertubuhan Al-Qaeda itu didakwa menjadi dalang kepada kejadian rempuhan kapalterbang awam ke atas World Trade Centre di New York pada 11 September 2001 atau lebih dikenali sebagai tragedi 911.

Disebabkan 911, Presiden US yang gila, George W Bush mengisytiharkan perang ke atas keganasan. Sebagai hukuman, Afghanistan yang didakwa menjadi lokasi persembunyian Osama diserang oleh bala tentera Bush menyebabkan ribuan orang awam terbunuh dan ratusan ribu lagi tercedera.

Tidak cukup dengan itu, Iraq pula diserang bagi menjatuhkan kerajaan Allahyarham Saddam Hussein yang didakwa menyimpan senjata pemusnah besar-besaran (mass weapon destruction-mwd), semuanya atas alasan "MENGHAPUSKAN KEGANASAN".

Ternyata peristiwa 911 telah digunakan sepenuhnya oleh US untuk menyerang negara-negara yang sentiasa menjadi duri dalam daging kepada hajat mereka untuk menguasai dunia. Terbaru, Libya pula menjadi mangsa kerakusan US yang kononnya bertindak atas nama NATO (Pertubuhan Pakatan Atlantik Utara) hingga menyebabkan kematian anak lelaki bongsu Muammar Gaddafi, Saif Al-Arab dan 3 orang cucunya.

Persoalannya, adakah dengan kematian Saddam, Osama dan kini Gaddafi yang sedang diburu oleh US, dunia akan menjadi lebih aman? Jawapannya sudah tentu tidak.

Pertama, asal keganasan saja, dikaitkan dengan Islam. Kegiatan pengganas tidak mengenal agama. Misalnya, kegiatan pengeboman gerila IRA di Ireland yang berlanjutan berpuluh tahun. Puncanya kerana perbalahan agama di antara puak Protestan dan Katolik. Bagaimana pula dengan penghapusan etnik Bosnia oleh Serbia? Adakah dilakukan oleh orang Islam? 

Keduanya, US seharusnya melihat ke dalam diri mereka sendiri. Adakah dasar mereka terutamanya di Timur Tengah yang banyak memihak kepada Israel, menguntungkan mereka? Kegiatan keganasan yang bercambah setiap hari terutamanya oleh masyarakat Arab adalah disebabkan ketidakadilan dasar US di Timur Tengah. 

Apa juga kejadian yang berlaku, Israel akan sentiasa dibela. Maka masyarakat Arab merasakan mereka ditindas. Suara mereka tidak didengar oleh masyarakat dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sepatutnya melindungi warga dunia, nyata tidak berupaya melawan kerakusan US dan Israel. Apa jua resolusi yang dibawa ke Majlis Keselamatan PBB, jika tidak melindungi kepentingan US dan Israel, akan di"veto" oleh US.

Kerana itu, masyarakat Arab terutamanya, bangun melawan penindasan ini. Wujudlah pertubuhan seperti Al-Qaeda dan di Asia Tenggara, Jamaah Islamiyah (JI) yang mengambil keputusan untuk bangkit melawan ketidakadilan dengan perjuangan bersenjata dan pengeboman bersiri ke atas kepentingan US terutamanya di seluruh dunia.

Ketiga, US ternyata banyak berbohong dalam usahanya menguasai dunia. Tragedi 911 (saksikan video teori konspirasi 911 di penghujung catatan ini) dan tuduhan MWD ke atas Iraq ternyata banyak menimbulkan persoalan samada tuduhan yang dikenakan ke atas Osama dan Saddam adakah benar atau tidak. Pelbagai teori konspirasi didedahkan berhubung kedua-dua kejadian, oleh rakyat US sendiri. Disebabkan pembohongan Bush, ribuan nyawa yang tidak berdosa menjadi korban pengeboman US.

Tidakkah ini semua hanya mengundang tindakbalas ganas dari golongan yang merasakan diri mereka tertindas? Dan apakah dengan pengeboman dan pencerobohan yang dilakukan oleh US dan sekutunya, negara-negara berkenaan menjadi aman? Tidak juga. Iraq hingga sekarang masih bergelut untuk mencari kedamaian yang pernah dinikmati rakyat mereka ketika pemerintahan Saddam. 

Jadi, sehingga US menukar dasar luar mereka yang sesuka hati membuli negara lain, menyelesaikan masalah kemerdekaan Palestin dengan menghentikan perlindungan yang diberi kepada Israel, menarik keluar tentera mereka dari Afghanistan dan Iraq serta berhenti dari cuba menjadi polis dunia; kegiatan keganasan tidak akan berhenti. Seorang Osama dibunuh, akan melahirkan semangat Osama di dalam puluhan, ratusan malah ribuan yang lain yang akan bangkit melawan ketidakadilan US.     

        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sementara komen anda amat dialu-alukan, admin blog ini punya hak untuk tidak menyiarkan komen yang mengandungi perkataan yang tidak bersesuaian dengan budaya orang Timur. Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...