Berita Harian Online malam tadi (klik sini) menyiarkan berita yang 3,000 kakitangan awam diisytiharkan muflis tahun lalu berbanding 1,086 orang pada 2009. Mengikut Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman, kebanyakan kes berpunca dari kegagalan mereka membayar semula pinjaman kenderaan. Ramai daripadanya membuat pinjaman kenderaan tidak bersesuaian dengan pendapatan mereka.
Mungkin statistik yang diberikan itu tidak tepat tapi kawan percaya, kes kakitangan awam diisytiharkan bankrap sememangnya ada saban tahun.
Kawan juga percaya, kegagalan kakitangan awam berkenaan membayar pinjaman kenderaan mereka berpunca dari komitmen mereka terhadap pinjaman lain terutamanya pinjaman peribadi.
Boleh dikatakan kakitangan awam adalah "pelanggan dan sasaran utama" pemberi pinjaman peribadi baik koperasi mahupun bank komersial. Institusi pemberi pinjaman peribadi berlumba-lumba menawarkan pakej menarik serta kelulusan mudah untuk menarik penjawat awam mengambil pinjaman peribadi dengan mereka.
Kegunaan pinjaman peribadi pula adalah untuk pelbagai kegunaan. Ada digunakan untuk berkahwin, membesarkan rumah, membiaya pelajaran anak tapi yang paling "siksa" adalah untuk melabur dalam skim cepat kaya ataupun skim "multi-level marketing"(MLM).
Tanyalah kepada ejen-ejen skim cepat kaya atau MLM, siapakah "target" utama mereka untuk menarik pelaburan? Jawapan pertama sudah pastinya, kakitangan kerajaan. Bagaikan satu stigma di kalangan ejen-ejen tidak berlesen ini untuk "menyerang" penjawat awam yang disifatkan mudah dipengaruhi untuk melabur dalam skim sebegitu, apatah lagi jika dijanjikan dengan pulangan menggunung tinggi dalam masa yang singkat.
Apabila skim berkenaan sudah sampai ke peringkat "tepu" dan tidak lagi dapat membayar pulangan seperti yang dijanjikan, maka ramailah yang terperangkap. Yang sedihnya, modal pelaburan belumpun dapat semula, semua pelaburan "hangus" begitu saja. Ansuran bulanan pinjaman peribadi tetap ditolak dari gaji mereka melalui ANGKASA.
Bila itu terjadi, wang gaji sudah tidak cukup untuk menampung belanja bulanan apatah lagi untuk membayar pinjaman kenderaan. Maka dari sanalah timbulnya pelbagai masalah hinggalah diisytiharkan bankrap. Yang sedihnya, majoriti yang menjadi mangsa adalah berbangsa Melayu.
Kawan ingin menyeru kepada semua penjawat awam khasnya dan juga seluruh rakyat Malaysia amnya, berhati-hatilah sebelum membuat keputusan untuk melabur dalam skim-skim yang tidak bertauliah dan berlesen ini. Siapa yang tidak mahu untuk membuat keuntungan besar dalam tempoh singkat. Bagaimanapun, ambil sedikit masa untuk berfikir, apa pula akan jadi jika skim pelaburan yang anda ambil lingkup, tutup kedai ataupun ejen mahupun pemilik skim pelaburan berkenaan menghilangkan diri?
Bayangkan kesengsaraan anda untuk membayar semula pinjaman peribadi sedangkan anda tidak mendapat apa-apa dari skim itu melainkan hutang yang semakin bertimbun. Juga bayangkan penderitaan anak-isteri nanti yang terpaksa ikat perut cuma disebabkan oleh kealpaan kita dalam mengejar keuntungan yang tak pasti.
Memang tak dinafikan tidak semua penjawat awam terlibat, tetapi seperti kawan katakan di atas tadi, ramai yang telah menjadi mangsa. Mintalah nasihat dari mereka yang berlesen seperti perunding kewangan sebelum anda membuat keputusan yang kelak merugikan diri sendiri. Banyak pilihan pelaburan lain yang berlesen seperti akaun simpanan emas dengan bank komersial, insurans, unit amanah, hartanah dan saham yang boleh anda jadikan platform pelaburan anda.
Ingat kata bidalan nenek moyang kita, "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sementara komen anda amat dialu-alukan, admin blog ini punya hak untuk tidak menyiarkan komen yang mengandungi perkataan yang tidak bersesuaian dengan budaya orang Timur. Terima kasih.