ARTIKEL PANAS!!!

Jumaat, 17 Jun 2011

KOS MELEPAS (OPPORTUNITY COST), ADA YANG TAK FAHAM?


Artikel ini kawan tulis bagi menjawab kekecohan mengenai isu pengurangan subsidi yang timbul dalam 3 minggu kebelakangan ini. 

Kawan ingin memberikan ilustrasi yang mudah. Anda mempunyai RM1,000 sekarang. Anda berhajat untuk membeli sebuah i-pad yang mempunyai tanda harga yang sama. Dalam masa yang sama, isteri anda pula mendesak, wang RM1,000 itu diserahkan kepadanya bagi membuat peruntukan bagi persiapan menyambut Hari Raya Puasa yang akan menjelang dua bulan dari sekarang.


Anda menjadi serba-salah. I-pad yang anda idamkan itu akan memudahkan urusan kerja harian anda kerana situasi kerja anda yang memerlukan anda banyak berada di luar pejabat. I-pad itu amat berguna untuk anda menyelesaikan kerja yang tertangguh di pejabat dan juga memudahkan anda berkomunikasi dengan majikan dan pelanggan melalui kemudahan e-mel dan sebagainya.

Sebaliknya, persiapan hari raya juga perlu diambilkira. Duit minyak untuk perjalanan balik kampung, duit angpau, persiapan baju raya anak dan isteri, belanja menyediakan juadah raya dan juga menggantikan langsir atau perabut yang telah usang.

Akhirnya, anda membuat keputusan, keluarga perlu diutamakan. Maka, wang RM1,000 itu diberikan kepada isteri anda. Dalam masa yang sama, anda terpaksa melupakan hasrat untuk membeli i-pad yang telah lama anda idamkan itu.

Apabila anda mempunyai 2 pilihan tetapi memiliki kemampuan yang terhad untuk memiliki kedua-dua pilihan itu, anda terpaksa membuat pilihan untuk memiliki cuma satu sahaja dan terpaksa melepaskan pilihan yang satu lagi, keadaan inilah yang diistilahkan sebagai "KOS MELEPAS" ataupun "OPPORTUNITY COST". Dalam ilustrasi di atas tadi, kerana anda lebih utamakan persiapan keluarga, anda terpaksa melepaskan i-pad dan i-pad itu menjadi Kos Melepas anda.

Apa relevannya dengan isu pengurangan subsidi yang hangat diperkatakan dalam 3 minggu kebelakangan ini? Ya, kerajaan juga sentiasa berdepan dengan dilema KOS MELEPAS ini. Mana yang lebih penting, mengurangkan kesengsaraan rakyat ataupun kerajaan menanggung beban hutang yang besar bagi menampung beban subsidi yang semakin meningkat setiap tahun?

Dalam kes subsidi kepada IPP contohnya, kerajaan terpaksa memberikan subsidi kerana menghormati kontrak yang telah ditandatangani dengan IPP berkenaan. Jika kerajaan membuat keputusan untuk mengurangkan subsidi berkenaan, kerajaan akan menjimatkan beberapa bilion RM yang boleh digunakan untuk tujuan lain seperti membina lebih banyak kemudahan infrastruktur kepada rakyat, ataupun menaikkan taraf pengangkutan awam mahupun memberikan lebih banyak biasiswa bagi anak-anak anda melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Apa pula KOS MELEPAS kepada kerajaan jika subsidi kepada IPP dikurangkan? IPP mungkin akan bertindak mengheret kerajaan ke mahkamah kerana tidak mematuhi kontrak yang telah dipersetujui. Jika tidak pun, IPP akan menaikkan harga jualan elektrik yang dijana kepada TNB yang akhirnya akan memaksa TNB untuk menaikkan lagi tarif elektrik yang seterusnya, akan lebih membebankan rakyat.

Begitu juga dengan pengurangan subsidi petrol. Jika kerajaan mengurangkannya, harga petrol akan meningkat yang pasti akan mengundang kemarahan rakyat. Jika kerajaan mengekalkan pula kadar subsidi petrol pada kadar semasa, kerajaan terpaksa berbelanja sehingga RM20 bilion untuk menampung kos subsidi berkenaan. Jadi, kerajaan terpaksa membuat pilihan, MELEPASkan pilihan yang mana satu? Setakat ini, kerajaan masih lagi bersimpati dengan rakyat apabila membatalkan rancangan mengurangkan subsidi petrol RON95 tetapi dalam masa yang sama, kerajaan terpaksa mencari dana bagi menampung kos subsidi yang terpaksa ditanggung itu.

Jika anda menjadi Perdana Menteri atau Menteri Kewangan, apa pilihan yang akan anda ambil? Memilih untuk menjadi tidak popular dengan mengurangkan subsidi hingga mungkin tumbang dalam pilihanraya umum yang akan datang, tapi dalam masa yang sama dapat mengelak krisis hutang negara supaya tidak berlarutan menjadi seperti Greece yang terpaksa berhutang untuk membayar gaji kakitangan kerajaan.
Ataupun, memilih untuk menjadi kerajaan yang baik di mata rakyat dengan mengekalkan subsidi tapi kerajaan terpaksa berhutang dengan lebih banyak dan kemungkinan pada satu masa, terpaksa meminta IMF datang membantu kerana negara sudah tidak berupaya untuk menjana pendapatan sebagaimana yang terjadi kepada Indonesia di zaman Allahyarham Pak Suharto pada tahun 1998 dulu?

Bagi PR, memang mudah untuk membelasah kerajaan kerana mereka masih bertindak sebagai pembangkang di peringkat Parlimen. Tapi, bagaimana dengan kerajaan di negeri-negeri yang diperintah PR? Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan tidak juga sunyi dari pelbagai masalah yang mencengkam dan menghimpit kehidupan rakyat. Baru juak-juak PR ini faham, bukannya mudah untuk menguruskan kewangan negeri. Lainlah kalau menjadi seperti Guaneng yang urusan membawa masuk pelabur asing, semuanya diuruskan oleh kerajaan pusat melalui MITI. Guaneng dan DAP hanya tahu mendapat kredit dari usaha yang dilakukan oleh MITI.

Dan kepada Anwar Ibrahim, janganlah nak berkokok seperti ayam jantan yang tiada taring berkenaan subsidi kepada IPP kerana rakyat sudah tahu, kadar tarif yang tinggi yang dikenakan IPP kepada TNB adalah kerja Menteri Kewangan antara 1992 hingga 1998. Siapa Menteri Kewangan pada tempoh itu? Tolong jawabkan!!!                

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sementara komen anda amat dialu-alukan, admin blog ini punya hak untuk tidak menyiarkan komen yang mengandungi perkataan yang tidak bersesuaian dengan budaya orang Timur. Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...