ARTIKEL PANAS!!!

Isnin, 18 April 2011

ANALISA KEPUTUSAN PILIHANRAYA DUN SARAWAK 2011

Pilihanraya DUN Sarawak yang sudahpun kita ketahui keputusannya melakarkan lanskap baru dalam dunia politik Malaysia. Sejarah baru telah tercatat apabila DAP hampir menyapu bersih 15 kerusi yang ditandinginya apabila menang di 12 kerusi yang majoriti pengundinya berbangsa Cina. Isyarat jelas yang dihantar dari kemenangan DAP ini ialah kaum Cina menolak BN. Walaupun kaum Cina mempunyai wakil di dalam BN seperti MCA dan Gerakan di Semenanjung dan SUPP di Sarawak, bagi mereka parti ini sudah hilang kredibiliti untuk menyampaikan suara mereka. Disebabkan itu, SUPP kehilangan pengaruh apabila cuma menang 6 dari 19 kerusi yang ditandingi yang mana cuma 2 sahaja wakil kaum Cina dalam kerajaan baru BN Sarawak. 



Pola penolakan kaum Cina yang semakin jelas terhadap BN membuktikan bahawa penguasaan kegiatan ekonomi sahaja tidak mencukupi buat mereka. Kaum Cina nampaknya ghairah untuk memegang KUASA pemerintahan dan politik. Secara tidak langsung, ini membuktikan kaum Cina menolak dasar kerajaan BN yang antara lainnya memberikan keistimewaan tertentu kepada kaum Melayu/Bumiputera. Hakikat bahawa kerajaan BN telah banyak membawa pembangunan hingga memakmurkan kaum mereka nyata dinafikan oleh pola pengundian mereka.

Sementara itu, DAP sebelum ini menuduh UMNO sebuah parti yang mengamalkan dasar perkauman. DAP menafikan bahawa perjuangan mereka adalah untuk kaum Cina semata-mata. Namun, pilihanraya DUN Sarawak nyata mendedahkan bahawa DAP terbukti memang parti rasis. Tembelang DAP dipecahkan oleh calonnya yang menang di DUN Pending, Violet Yong yang mempersoalkan kenapa Ketua Menteri Sarawak sejak merdeka datang dari kaum Melanau/Melayu sahaja. Kenapa kaum Cina tidak boleh menjadi Ketua Menteri? Serba-sedikit kaum Cina di Sarawak termakan dengan hasutan DAP yang ingin menobatkan kalangan mereka menjadi Ketua Menteri Sarawak yang baru.


Seperti yang dinyatakan di atas, rupanya ini yang diinginkan DAP selama ini. Berkuasa sebagai Ketua Menteri dan nanti membuat polisi yang lebih mementingkan kaum Cina seperti yang pernah berlaku di Perak di bawah pemerintahan Nizar Jamaludin. 


Pilihanraya DUN Sarawak juga menyaksikan penolakan rakyat Sarawak terhadap Anwar Ibrahim dan PKR. Disebabkan ingin  menobatkan Baru Bian, pemenang kerusi Ba' Kelalan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru, PKR menjadi tamak dengan bertanding di 49 kerusi. Ketamakan mereka menyebabkan sebuah lagi parti pembangkang Sarawak, SNAP yang pada mulanya bercadang menyertai PR  di Sarawak, akhirnya meletakkan 26 orang calon yang akhirnya berlaga dengan PKR. Akibatnya, SNAP hanyut dengan gagal memenangi satupun kerusi manakala PKR cuma menang di 3 kawasan sahaja. 


PKR boleh mendakwa mereka mendapat pencapaian berganda 200% berbanding 2006 yang mana mereka cuma menang 1 kerusi. Bagaimanapun, pencapaian cuma menang 6% dari keseluruhan kawasan yang mereka tandingi menunjukkan rakyat Sarawak menolak PKR yang datang membawa bersama mereka, kempen pilihanraya yang dipenuhi dengan kata-kata kesat dan kasar. Di sesetengah kawasan, Anwar Ibrahim dan sekutunya tidak dapat berucap lama kerana tidak dibenarkan oleh penduduk setempat. Apatah lagi, rakyat Sarawak dapat melihat sendiri kebengisan Anwar Ibrahim dalam menangani soalan mengenai jam Omega yang diajukan oleh pemberita TV3 dan seorang tuai rumah panjang.




Pas pula masih tercari-cari asas kukuh untuk melahirkan "anak sulung" mereka di Sarawak, iaitu kemenangan pertama kerusi DUN. Mereka bertanding di 5 kawasan dan kalah di kesemuanya. Ternyata sokongan Pas kepada PKR untuk menobatkan Baru Bian, seorang Kristian sebagai Ketua Menteri baru dipandang serius oleh pengundi Islam Sarawak. Mereka secara terang-terangan menolak penglibatan Pas dengan komplot PKR malah di sesetengah tempat, penceramah dan jentera Pas yang kebanyakannya datang dari Semenanjung khususnya Kelantan langsung tidak dibenarkan untuk menyampaikan ceramah mereka.


TIMBANG-TIMBANGKempen kali ini juga menyaksikan serangan bertali-arus PR terhadap "kegagalan" Ketua Menteri, Pehin Seri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengesahkan pelan peletakan jawatan beliau. Pada PR, Tan Sri Taib telah terlalu lama memerintah (30 tahun) dan wajar melepaskan jawatannya kepada orang lain. Jaminan Perdana Menteri bahawa pelan peralihan kuasa telah ada dan beliau maklum mengenaInya tidak diendahkan oleh PR terutamanya DAP dan PKR yang terus-terusan menyerang Taib hinggakan majlis angkat sumpah Taib sebagai Ketua Menteri pada malam yang sama keputusan diumumkan pun dijadikan isu.


Dalam pada sokongan kaum Cina kepada BN kian luntur, kaum Bumiputera masih lagi berdiri teguh di belakang kepemimpinan Tan Sri Taib dan BN. Kerana itulah, selama 5 tahun akan datang, tumpuan wajar diberikan sepenuhnya untuk membangunkan kawasan pedalaman dengan kemudahan infrastruktur seperti jalanraya, bekalan air paip bersih dan bekalan tenaga elektrik di samping program pembangunan tersusun untuk manfaat mereka. Adalah amat wajar sokongan padu mereka dihargai oleh kerajaan BN kerana mereka tetap bersatu teguh di belakang kerajaan walaupun diasak dengan pelbagai tohmahan dan dakyah PR. 


Bagi pengundi Cina di kawasan bandar yang secara total menolak kerajaan BN, sehingga menyebabkan undi popular merosot dari 63% kepada cuma 55%, lihatlah nanti apa yang DAP boleh berikan kepada mereka. Selain dari hasutan untuk menolak rejim Tan Sri Taib dan menyalakan api perkauman, keupayaan DAP untuk membawa lebih kemakmuran kepada pengundi mereka di kawasan bandar-bandar Sarawak amat dinantikan. Kita lihat sahaja apa yang akan terjadi selepas ini.....
        

Tiada ulasan:

Catat Komen

Sementara komen anda amat dialu-alukan, admin blog ini punya hak untuk tidak menyiarkan komen yang mengandungi perkataan yang tidak bersesuaian dengan budaya orang Timur. Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...