ARTIKEL PANAS!!!

Khamis, 21 April 2011

TEOH BENG HOCK : KENAPA DAP TIBA-TIBA HILANG SUARA?

Prosiding penyiasatan Suruhanjaya Diraja menyiasat kematian Teoh Beng Hock nampaknya semakin menarik untuk diikuti. Banyak fakta baru yang sebelum ini menjadi rahsia simpanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menjadi pengetahuan umum berikutan laporan keterangan saksi prosiding berkenaan dilaporkan oleh media.


Antara keterangan yang menarik perhatian adalah dari kontraktor bernama Lee Wye Wing. Lee mengakui, syarikatnya mendapat projek yang sepatutnya diberikan kepada kontraktor Bumiputera. Ini kerana, anak saudaranya mempunyai hubungan dengan pemimpin atasan DAP dan mempunyai peranan dalam memilih kontraktor yang bakal mendapat tender kelas F yang dikeluarkan. Sebagai imbuhan, syarikatnya memberikan "komisyen atas angin" kepada beberapa syarikat kontraktor Bumiputera kelas F yang namanya digunakan dalam tender itu. 

Selain itu, Lee juga mengatakan setiap sebutharga yang dikeluarkan syarikatnya, akan disemak dulu oleh Ean Yong Hian Wah, Exco Selangor yang juga ADUN Seri Kembangan yang mana Teoh menjadi perantaranya bagi menentukan nilai sebutharga berkenaan.

Satu lagi fakta menarik ialah, keterangan Bulkini Paharuddin, Penolong Penguasa SPRM yang mendengar suara ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah memarahi seorang lelaki lain dengan perkataan "ni lor" yang bermaksud "ni semua, kau punya pasal".

Apa yang didedahkan di perenggan kedua dan ketiga di atas cukup untuk membuktikan penyalahgunaan kuasa oleh seorang ADUN dalam menentukan nilai sebutharga tender. Juga penyelewengan kuasa dalam menghadiahkan tender kepada kroni dan kaum-keluarga (nepotisme) juga turut berlaku. Manakala perenggan keempat pula, mungkin mengakibatkan tekanan perasaan yang dialami orang yang dimarahi Tan Boon Wah yang mana gambaran pakaian yang dipakai oleh orang berkenaan serupa dengan pakaian yang digunakan oleh Teoh pada malam kejadian.

Sebelum ini, DAP kononnya menjadi juara dalam membelasah kerajaan BN yang kononnya mengamalkan nepotisme dan kronisme serta menyeleweng dalam menghadiahkan tender kepada kontraktor yang dikatakan ada hubungan dengan UMNO terutamanya. Rupa-rupanya, DAP juga mengamalkan perkara yang sama. Mana dia prinsip Competency, Accountability, Transparency (Kebolehpercayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan) yang dicanangkan DAP selama ini? Nyata slogan CAT itu tinggal slogan sahaja rupanya. CAT sudah berubah menjadi kucing yang menunggu masa sahaja untuk menerkam tikus apabila peluang itu muncul di depan mata.

Kawan juga ingin mengucapkan tahniah kepada peguam SPRM, Datuk Mohd Shafee Abdullah yang telah melondehkan kedurjanaan DAP dalam prosiding semalam. Adalah diharapkan, Datuk Shafee dapat membongkar keseluruhan penyelewengan DAP yang sebelum ini menyifatkan puak mereka adalah puak yang paling suci, mulia dan ikhlas dalam perjuangan mereka. 

Golongan ini yang umat Melayu hendak harapkan memajukan bangsa Melayu? Sedangkan projek kecil kelas F pun disapu oleh mereka, apatah lagi projek berjuta atau berbilion ringgit. Renung-renungkanlah sebelum nasi menjadi bubur. 

Tiada ulasan:

Catat Komen

Sementara komen anda amat dialu-alukan, admin blog ini punya hak untuk tidak menyiarkan komen yang mengandungi perkataan yang tidak bersesuaian dengan budaya orang Timur. Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...