ARTIKEL PANAS!!!

Selasa, 9 Ogos 2011

KERAJAAN PR SELANGOR BAKAL BERPECAH LEPAS PRU13?

Pertamanya, kawan memohon ampun dan maaf kerana sudah hampir sebulan tidak membuat posting berkenaan senario politik tanahair. Niat di hati ingin berehat seketika apatah lagi dengan ketibaan Ramadhan Al Mubarak yang masuk hari ke sembilan hari ini. Dari kejauhan, kawan memerhati perkembangan politik semasa dan kawan terpaksa keluar dari "pertapaan" apabila isu kontroversi serbuan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas majlis berbuka puasa anjuran Damansara Utama Methodist Church (DUMC) yang dihadiri 12 orang beragama Islam timbul.


Kawan tak berminat untuk mengulas panjang mengenai apa yang telah berlaku kerana semua pihak sudah sedia maklum mengenai fakta kes berkenaan.   Walau apa pun, kawan amat menyokong pendirian JAIS dan ketegasan Datuk Dr Hassan Ali selaku exco bertanggungjawab mengenai Hal-Ehwal Agama Islam Selangor mempertahankan tindakan berkenaan.

Apa yang kawan ingin sentuh ialah apakah impak kes ini terhadap masa depan kerajaan PR Selangor. Kawan percaya, rakyat Selangor sedang memerhatikan dengan teliti bagaimana rentak tarian Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam menangani permasalahan ini. Dan kawan juga percaya, kegagalan Khalid untuk menyokong tindakan JAIS dan menundukkan kehendak exco bukan Islam dari DAP dan PKR supaya JAIS meminta maaf, bakal membawa kepada keruntuhan kerajaan PR di Selangor dalam PRU13 akan datang.

Dan disebabkan kegagalan Khalid dalam menangani sebarang isu yang berkaitan dengan portfolio hal-ehwal agama Islam yang dipegang oleh Datuk Dr Hassan Ali sejak Mac 2008, bakal membawa kepada perpecahan kepada kerajaan PR jikapun PKR, DAP & Pas memenangi majoriti kerusi DUN dalam PRU13 nanti.


Perpecahan yang berlaku bukanlah disebabkan oleh kehendak Tiga Abdul ini kerana, DAP belum puas lagi memperkudakan PKR dan Pas dalam percaturan kuasa di Selangor. Sebaliknya, perpecahan ini bakal berlaku tanpa kerelaan Tiga Abdul ini.


Di sinilah kawan membayangkan peranan yang bakal dimainkan oleh DYMM Paduka Sultan Selangor. Rakyat Selangor percaya, sebagai Sultan yang bijaksana, Tuanku Sultan Selangor sedang memerhatikan dan menganalisa permainan kerajaan PR sejak berkuasa selepas PRU12.


Telah banyak kali Baginda Sultan mengeluarkan titah yang "mengherdik" kerajaan PR pimpinan Khalid secara halus, menegur pelbagai perbuatan kerajaan PR Selangor yang sumbang dari pandangan Tuanku. Terbaru, Tuanku Sultan bertitah supaya budaya politiking dibuang jauh-jauh dari Unisel yang secara tak langsungnya menyentuh kemelut yang membawa kepada peletakan jawatan Naib Canselor Unisel, Datuk Dr Rosti Saruwono.


Dan kawan amat percaya, Baginda Sultan akan mempergunakan sepenuhnya kuasa yang ada pada Baginda untuk memerintahkan kerajaan campuran BN dan Pas dibentuk di Selangor selepas PRU13 nanti. Dan orang seperti Khalid Samad yang mempunyai kecenderungan luarbiasa dalam aspek toleransi beragama akan dipinggirkan dari kerajaan baru itu nanti.


Dan sekiranya ini berlaku, ianya akan menjadi titik permulaan kepada berkuburnya pengaruh PKR di Selangor dan DAP akan kembali "bersendirian" seperti berlaku dalam PRU sebelum Mac 2008. Pada masa itu pula, pimpinan pusat Pas pula tidak akan dapat lagi mengawal hal-ehwal negeri Selangor seperti yang terjadi sekarang apabila Pas Pusat meminta penjelasan JAIS berkaitan "serbuan" ke atas gereja di Damansara Utama berkenaan.


Kawan amat percaya, Tuanku Sultan Selangor bakal menggunakan budi-bicara Baginda kerana sudah cukuplah permainan Khalid Ibrahim dan DAP yang seolah-olah mempersendakan kedudukan Tuanku sebagai ketua agama Islam negeri dengan memperlekehkan tindak-tanduk JAIS. Itu belum lagi mengambilkira krisis pelantikan Setiausaha Kerajaan negeri sebelum ini yang seolah-olah mencabar perkenan Tuanku ke atas pelantikan berkenaan.


Dan kawan percaya, orang Islam di Selangor pasti gembira jika Tuanku membuat pilihan sedemikian. Rakyat Selangor pastinya amat bertuah kerana mempunyai seorang Sultan yang bijaksana, adil dan mengutamakan kepentingan rakyat. Daulat Tuanku!!!

Tiada ulasan:

Catat Komen

Sementara komen anda amat dialu-alukan, admin blog ini punya hak untuk tidak menyiarkan komen yang mengandungi perkataan yang tidak bersesuaian dengan budaya orang Timur. Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...