ARTIKEL PANAS!!!

Selasa, 26 April 2011

SEK JENIS KEB CINA PENGHALANG INTEGRASI KAUM

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), dalam satu kajian tahun lalu yang membabitkan 159 buah sekolah menengah (sumber : laman web Malaysian Insider, klik di sini), mendapati 1/3 dari pelajar yang datangnya dari SJK (C), tidak faham samada Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris apabila melangkah ke sekolah menengah. Kajian terbabit juga mendapati, kadar keciciran pelajar Cina adalah hampir satu dalam setiap empat orang.

Kajian berkenaan juga menyimpulkan, keciciran ini berlaku kerana pelajar Cina cuma bergaul dan berinteraksi sesama mereka di dalam bahasa ibunda dan kurang menggunakan Bahasa Malaysia. 


Pada kawan, kegagalan ini tidak sedikit pun menghairankan. Sistem sekolah vernakular yang dipraktikkan sejak negara ini merdeka, adalah punca mengapa aspirasi penyatuan bangsa dalam negara ini gagal. 

Apabila wujudnya pengenalan pendidikan mengikut kaum; Sek. Ren. Keb. untuk kaum Melayu/Bumiputera, SJK (C) untuk kaum Cina dan SJK (T) untuk kaum India; maka zaman yang mana  kanak-kanak mudah menyerap apa yang diajarkan terutamanya dalam memupuk semangat muhibbah antara kaum, terbazir begitu sahaja. Bila mereka masuk ke sekolah menengah, mereka yang sudah terbiasa dengan pergaulan sesama bangsa mereka selama 6 tahun di sekolah rendah, menyebabkan mereka janggal dan kekok untuk berinteraksi dengan pelajar bangsa lain.

Inilah padahnya apabila sistem pendidikan pun hendak dipolitikkan. Pertubuhan yang berkaitan dengan pendidikan Cina seperti Dong Jiao Zong sentiasa akan mendahulukan pendidikan Cina dalam apa jua tindakan mereka dan sentiasa akan membangkang dasar pendidikan negara biarpun ia dirumus untuk kebaikan semua. 

Pertubuhan pendidikan Cina langsung tidak mahu bertolak-ansur malahan menghantar pelbagai memorandum kepada Kementerian Pelajaran dari semasa ke semasa dengan membuat pelbagai tuntutan yang kebanyakannya tidak dapat dipenuhi oleh kerajaan. Apabila ini berlaku, ianya akan dijadikan modal untuk kempen politik dan kaum Cina diapi-apikan bahawa kerajaan tidak bersikap adil terhadap kaum mereka. 

Disebabkan hasil kajian ini, telah timbul desakan supaya kerajaan menghapuskan terus sistem pendidikan vernakular. Bagaimanapun, kerajaan telahpun memberikan jaminan bahawa sjk (c) ataupun (t) tetap akan wujud, malahan terus dibantu oleh kerajaan.

Kewujudan sjk (c) dan (t) ini bertitik-tolak ketika rundingan antara 3 kaum terbesar; Melayu, Cina dan India; dalam proses mencapai kemerdekaan. Ketika itu, UMNO sebagai tulang-belakang perundingan telah meminta supaya kedudukan istimewa bangsa, bahasa dan raja-raja Melayu serta agama Islam sebagai agama resmi persekutuan, dijamin dalam perlembagaan negara dan ianya telah dipersetujui oleh wakil MCA yang mewakili kaum Cina dan MIC yang mewakili kaum India. Sebagai balasan kepada kontrak sosial ini, kaum Cina dan India dijamin diberikan kewarganegaraan dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka serta dijamin hak mereka untuk mengamalkan budaya dan bahasa kaum masing-masing. Dari sinilah wujudnya sjk (c) dan (t) sehinggalah sekarang.


Kerajaan pernah mengutarakan rancangan untuk mewujudkan SEKOLAH WAWASAN di mana SRK, SJK (C) dan SJK (T) diletakkan di bawah satu kluster (kawasan). Setiap aktiviti dirancang dan diadakan bersama bagi membolehkan murid pelbagai kaum berinteraksi dengan lebih kerap dalam aktiviti seperti sukan sekolah, ko-kurikulum, dan sebagainya. Namun, seperti yang kawan utarakan di atas, siang-siang lagi cadangan itu dibantah oleh pertubuhan pendidikan Cina. Akhirnya, cadangan itu berkubur begitu sahaja.


Untuk menyelesaikan masalah integrasi kaum ini, pada hemat kawan, cadangan Sekolah Wawasan itu perlu dilaksanakan seberapa segera yang mungkin. Sekiranya kaum Cina terutamanya berbesar hati mengatakan mereka adalah "Malaysian First", terimalah pelaksanaan sekolah wawasan ini dengan fikiran yang terbuka.


Sesungguhnya, kaum Cina di Malaysia masih dikira beruntung kerana kepentingan mereka tetap terbela di sebuah negara yang mereka adalah kaum minoriti. Bandingkan kedudukan kaum Cina di Indonesia ataupun Thailand, bukan setakat mereka tidak dibenarkan mempunyai sekolah vernakular, malahan kaum Cina di sana telah diasimilisasikan dan tidak dibenarkan mengamalkan budaya masyarakat Cina.


Kaum Cina mesti belajar untuk bertolak-ansur demi kepentingan perpaduan nasional. Begitu juga dengan parti politik yang mewakili kaum Cina, usahlah kerana ingin menjadi juara di kalangan masyarakat mereka, kepentingan negara ditolak ke tepi. Belajarlah untuk membina keharmonian antara kaum kerana tuntutan yang berlebihan dari yang sepatutnya pasti akan menaikkan suhu perkauman di negara berbilang-bangsa ini.


                               

Tiada ulasan:

Catat Komen

Sementara komen anda amat dialu-alukan, admin blog ini punya hak untuk tidak menyiarkan komen yang mengandungi perkataan yang tidak bersesuaian dengan budaya orang Timur. Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...