ARTIKEL PANAS!!!

Selasa, 12 April 2011

SUNGAI LEMBING NAN AMAN

Pintu gerbang Pekan Sg Lembing, menggamit kedatangan pengunjung.


Pada Ahad, 10/04/2011, kawan sempat melawat pak saudara orang rumah kawan di Pekan Sg Lembing, Kuantan, Pahang. Dah beberapa kali berkunjung ke sana, kawan memang tertawan dengan keindahan suasana di pekan koboi ini. Suasana di sini aman damai, jauh dari hiruk-pikuk dan kesibukan kota. Udara nyaman di sini dikelilingi kicauan burung, dengan pemandangan indah banjaran gunung yang menghijau membuatkan ada sesuatu yang menggamit perasaan kawan untuk sentiasa datang ke sini.


Pokok besar di tengah Pekan Sg Lembing, menjadi mercutanda bandar yang pernah terkenal di mata dunia ini.

Suasana sunyi di Pekan Sg Lembing, jam 1 tengahari, Ahad, 10/04/2011.


Sg Lembing, pada zaman awal kemerdekaan dulu, terkenal dengan perusahaan pelombongan bijih timah di dalam tanah. Ia mencatatkan rekod sebagai lombong bijih yang terdalam di dunia. Mengikut pak sedara orang rumah kawan yang pernah bekerja di lombong berkenaan, lombong itu digali sehingga 2,300 kaki di bawah tanah. Ketika itu, beribu orang pekerja, terutamanya berbangsa Cina dibawa masuk untuk bekerja di lombong berkenaan. Orang Melayu pada mulanya, takut untuk bekerja di lombong bawah tanah ini. Namun, apabila berita tersebar bahawa kerja melombong itu menawarkan gaji lumayan (pada masa itu), semakin ramai orang Melayu datang bekerja di lombong berkenaan.

Rumah bekas pekerja lombong yang masih utuh berdiri di tengah Pekan Sg Lembing.

Satu lagi bekas rumah pekerja lombong yang masih didiami sehingga kini.

Panggung wayang untuk bekas pekerja lombong di pinggir Pekan Sg Lembing.


Masyarakat di sini hidup aman damai. Pekan Sg Lembing dan kampung sekitarnya ramai dihuni oleh kaum Cina. Masyarakat Melayu kebanyakannya telah berhijrah keluar dari pekan ini apabila operasi lombong bijih berkenaan ditutup sekitar tahun 1960-an. Dari segi kemudahan, di pekan ini terdapat balai polis, pejabat pos, masjid serta sebuah muzium yang menyimpan khazanah pelombongan bijih dulu untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang. Juga terdapat sebuah guest house untuk anda menginap yang terletak di tengah-tengah pekan, berhampiran dengan Masjid Sg Lembing.

Balai Polis Sg Lembing.

Muzium Sg Lembing yang asalnya ialah rumah bekas pemilik lombong.

Masjid Sg Lembing yang boleh memuatkan anggaran 100 orang jemaah.

Rumah pak saudara ni letaknya di Kg Jeram Takar, di seberang sungai yang mengalir di belakang Pekan Sg Lembing. Yang menariknya, pak saudara ni tak pernah sekali pun bayar bil air walaupun sesen sejak berpuluh tahun mendiami rumah berkenaan. Sebabnya? Ada air mata air di puncak bukit yang dialirkan menerusi paip terus ke rumahnya. Airnya memang segar, sejuk dan nyaman. Boleh terus diminum tanpa perlu dimasak kerana ianya memang kaya dengan mineral semulajadi. Kawan memang tak pernah lepaskan peluang mandi kat rumah pak saudara ni. Kalau hari panas terik, mandi air mata air yang sejuk tu, terus segar jadinya.

Jambatan yang menghubungkan Pekan Sg Lembing dan Kg Jeram Takar.

Air mata air keluar dari celah bukit di belakang rumah pak saudara.


Bagi sesiapa yang berminat menghiasi laman rumah dengan batu sungai, tak perlu pening nak beli di tapak semaian atau kedai "hardware". Kutip saja batu sungai yang banyak ada di sepanjang sungai di Sg Lembing ini. Pelbagai bentuk, saiz dan warna batu-batu ini ada di sungai berkenaan. Pilih saja lah yang berkenan di hati. Tapi, jangan pulak angkut guna lori, kena jawab dengan Pejabat Tanah & Galian pulak nanti. Ambil sikit-sikit tu, kira boleh lah.

Bagi sesiapa yang nak berehat, menenangkan fikiran dan menjauhi kesibukan kota buat sementara, Sg Lembing ini memang tempat yang paling sesuai. Cubalah rasai pengalaman ini, anda pasti teringin untuk bertandang kembali.
      

Tiada ulasan:

Catat Komen

Sementara komen anda amat dialu-alukan, admin blog ini punya hak untuk tidak menyiarkan komen yang mengandungi perkataan yang tidak bersesuaian dengan budaya orang Timur. Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...