ARTIKEL PANAS!!!

Ahad, 15 Mei 2011

AWANG SELAMAT UTUSAN MANGSA TEKANAN POLITIK?

Setiap pagi minggu, antara perkara paling awal yang mesti kawan lakukan ialah membelek akhbar Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. Berbanding hari lain, hari Ahad adalah agak istimewa kerana kedua-dua akhbar ini menyiarkan banyak rencana dan ruangan pojok yang menyentuh pelbagai isu semasa.


Antara ruangan kegemaran kawan ialah "AWANG SELAMAT" di Mingguan Malaysia. Membaca ruangan beliau sentiasa memberikan perspektif baru dalam isu yang berkaitan dengan pembinaan bangsa dan negara. 

Bagaimanapun, ketika membelek Mingguan Malaysia pagi tadi, kawan merasakan satu "kehilangan" apabila kawan gagal menjumpai ruangan pojok Awang Selamat. Tempatnya sebaliknya digantikan dengan rencana yang ditulis seorang wartawan senior Utusan, Ku Seman Ku Hussain.

Kawan tertanya-tanya, apa yang dah berlaku kepada Awang Selamat? Dan kawan percaya, kehilangan Awang Selamat mesti ada kaitan dengan laporan tajuk utama Utusan Malaysia berjudul "Kristian Agama Rasmi?" yang disiarkan beberapa hari yang lepas.

Kawan rasa Awang Selamat menjadi mangsa kepada tekanan politik yang dikenakan terutamanya oleh DAP ke atas Utusan Malaysia kerana menyiarkan artikel berkenaan yang dipetik dari 2 blog, bigdogdotcom dan marahku. 

Kalau itu yang berlaku, kawan merasa amat sedih kerana Awang Selamat "dihukum" sebelum kebenaran terhadap dakwaan berkenaan dibuktikan. Utusan Malaysia bukannya menuduh sebarangan di dalam artikel berkenaan sebaliknya memetik apa yang dilaporkan oleh dua blog di atas. Utusan Malaysia juga turut menyiarkan penafian Jeff Ooi terhadap dakwaan tersebut. Tidakkah itu bermakna Utusan Malaysia adil dalam membuat liputan berhubung isu sensitif berkenaan? 

Kawan tahu, DAP dan rakan sekongkolnya telah lama geramkan Awang Selamat. Tulisan Awang Selamat di dalam ruangan pojoknya setiap minggu, diibaratkan duri tajam yang mencucuk jauh ke dalam sanubari pakatan DAP berikutan tulisan Awang Selamat yang mendedah dan melondehkan agenda buruk pakatan DAP dan sekutunya.

Awang Selamat dituduh oleh DAP sebagai ultra-Melayu yang bakal membawa ketidakstabilan perhubungan kaum dan agama di negara ini. Pada kawan, apa yang ditulis Awang Selamat kebiasaannya bukan bersifat agresif untuk menyerang sebaliknya lebih kepada defensif, mempertahankan umat Melayu dari terus diperkotak-katikkan oleh DAP dan rakan sekongkolnya, Pas dan PKR.

Kalau DAP dan akhbar Cina boleh sepanjang masa memainkan sentimen yang membangkitkan kemarahan kaum Cina kepada kerajaan BN, tiada salahnya Utusan Malaysia menjadi pembela benteng hadapan mempertahankan umat Melayu dan agama Islam.

Kalau akhbar berbahasa Melayu dituduh rasis kerana mempertahankan kepentingan Melayu, apa pula gelaran yang patut dipanggil kepada Sin Chew Jit Poh ataupun Nanyang Siang Pau? Bagaimana pula dengan Suara Keadilan dan Roket? Akhbar-akhbar inilah yang giat memainkan sentimen dengan membakar emosi kaum bukan Melayu/Bumiputra dengan pelbagai berita ketidakadilan dan penindasan kerajaan BN hampir setiap hari.

Kawan dengan ini ingin meminta Utusan Malaysia dan Berita Harian serta New Straits Times untuk menyediakan ruangan khas dalam akhbar mereka setiap hari untuk menyiarkan terjemahan berita berasaskan perkauman dan pembohongan yang disiarkan akhbar Cina setiap hari. Tujuannya, untuk menunjukkan kepada rakyat, siapa yang bersikap lebih rasis untuk dibuat perbandingan oleh rakyat.

Sudah sampai masanya untuk tembelang golongan chauvinis dan ultra-kiasu ini didedahkan kerana selama ini, mereka bermaharajalela tanpa sebarang sekatan. 

Dan kepada Awang Selamat, kawan berbangga dengan perjuangan anda. Kawan percaya, ramai lagi umat Melayu berdiri teguh di belakang anda menyokong penulisan anda. Teruskan wadah perjuangan membela bangsa dan agama wahai Awang Selamat dan Utusan Malaysia....

Tiada ulasan:

Catat Komen

Sementara komen anda amat dialu-alukan, admin blog ini punya hak untuk tidak menyiarkan komen yang mengandungi perkataan yang tidak bersesuaian dengan budaya orang Timur. Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...