ARTIKEL PANAS!!!

Sabtu, 4 Jun 2011

PAS TOLAK LAMARAN UMNO SEBAB....

Perwakilan Pas menyambut baik pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang yang menegaskan bahawa Pas akan tetap bersama Pakatan Rakyat.


Beberapa perwakilan mengatakan jurang perbezaan dasar yang terlalu besar menyebabkan mereka menolak idea penyatuan Umno dan Pas. Perwakilan dari Hulu Terengganu, Rokiah Ramli berpendapat penggabungan itu adalah usaha sia-sia kerana Umno menganut fahaman sekular. Anda boleh baca artikel penuh di sini.

Manusia merupakan makhluk Allah yang istimewa kerana dikurniakan akal fikiran. Nikmat berfikir merupakan antara nikmat yang terbesar kerana dengannya, manusia boleh membezakan antara yang haq dan yang batil.

Kawan tak kisah jika Pas tak mahu bergabung dengan Umno demi perpaduan umat Islam, tetapi menuduh Umno berfahaman sekular adalah satu hujah yang dangkal. Memang Umno ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib kaum Melayu, tetapi dalam masa yang sama, Umno tidak pernah melupakan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara. 

Bagi Pas, Umno sekular disebabkan tidak melaksanakan undang-undang hudud. Memang Pas dulunya beria-ia hendak melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan Terengganu. Tetapi, lihatlah kepincangan yang terkandung di dalam Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 di sini. Bagaimana pula dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali yang mengesahkan melaksanakan hudud bukannya agenda utama Pas jika berkuasa nanti. Kalau begitu, Pas pun dah jadi sekular jugalah?
Sumber : Malaysian Insider 26/01/2011

Banyak yang telah Umno buat untuk mengembangkan syiar Islam di negara ini. Siapakah yang menubuhkan Tabung Haji, Bank Islam, insurans takaful, perbankan Islam, pelaburan patuh syariah. Itu belum termasuk lagi peruntukan untuk aktiviti agama Islam di seluruh negara seperti pembinaan masjid dan surau, membiayai sekolah agama rakyat, menggajikan pegawai-pegawai agama, memberikan biasiswa kepada anak-anak untuk melanjutkan pengajian dalam bidang agama dan banyak lagi.

Kawan ingin bertanya pula kepada perwakilan Pas tadi, bagaimana pula kerjasama Pas dengan PKR dan DAP dalam PR? Adakah kedua-dua parti itu sekular atau Islam? Adakah bersekongkol dengan parti yang pemimpinnya menganjurkan majlis kesyukuran untuk paderi Kristian yang cuba untuk menukarkan agama rasmi negara kepada Kristian, merupakan satu tindakan Islamik. 

Sepatutnya sebagai pemimpin yang mendakwa memperjuangkan Islam, pimpinan Pas yang sepatutnya tampil dahulu untuk mendedahkan konspirasi berkenaan. Kawan tak ingat satupun kenyataan mengutuk keluar dari mulut pimpinan Pas dalam isu Kristian itu. Keluar kenyataan mengutuk Utusan Malaysia yang memetik laporan dari 2 blogger di muka hadapan akhbarnya, itu sajalah yang termampu dibuat oleh pimpinan Pas.

Penyokong dan perwakilan Pas nampaknya belum lagi mendapat hidayah, melihat bahawa mereka selama ini cuma diperkudakan oleh DAP dan PKR untuk mendapatkan undi dan kuasa. Lihatlah apa yang terjadi di Selangor. Exco Pas seperti Datuk Hassan Ali sendiri hampir tidak boleh membuka mulut apabila ingin menguatkuasakan enakmen yang berkaitan dengan agama Islam. Kedudukan Pas dalam kerajaan Selangor umpama "menumpang tuah" DAP dan PKR saja. 

Kepada perwakilan Pas di atas tadi, cubalah bermuhasabah. Renung-renungkanlah sejauhmana perjuangan Islam yang cuba dibawa oleh Pas. Namakan apa sahaja yang dilabelkan Pas terhadap Umno sebelum ini; rasuah, kronisme, nepotisme, penyelewengan, penipuan dan salahguna kuasa, semuanya telah terjadi di negeri yang dikuasai Pas. Janganlah tutup minda anda dengan apa yang disogokkan oleh pimpinan Pas. Sesekali, lihatlah dunia luar dari perspektif yang berbeza... Pasti anda akan dapat melihat hakikat sebenar yang "jauh panggang dari api"... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sementara komen anda amat dialu-alukan, admin blog ini punya hak untuk tidak menyiarkan komen yang mengandungi perkataan yang tidak bersesuaian dengan budaya orang Timur. Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...